Raja Mohamed Affandi

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengumumkan pelantikan itu ber­kata, keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) ke-548 yang bersidang pada 23 Mei lalu dan telah diper­kenankan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Jelas beliau, peralihan tampuk kepemimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berikutan Zulkefli yang akan bercuti dan mengambil Latihan Peralihan bermula tarikh tersebut sebelum bersara wajib pada 13 Jun 2017.

Hishammuddin turut meng­umumkan Panglima Tentera Uda­ra, Jeneral Tan Sri Roslan Saad akan mula bercuti dan mengikuti Latihan Peralihan pada 21 Disem­ber ini sebelum bersara wajib pada 27 Mei 2017.

“Jadi pada penghujung Disem­ber ini kita akan menyaksikan pelantikan Panglima Tentera Udara dan Panglima Tentera Da­rat baharu.

“Pengumuman enam bulan lebih awal ini dilakukan demi memastikan peralihan pucuk pimpinan ATM berjalan lancar manakala pemimpin yang terlibat boleh membuat persiapan rapi,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, pertemuannya dengan Menteri Pertahanan Indonesia, General Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Jabatan Pertahanan Negara Fili­pina, Voltaire Tuvera Gazmin di Manila semalam telah mencapai kata sepakat dalam meningkatkan tahap keselamatan di Laut Sulu.

Jelas beliau, ketiga-tiga negara bersetuju bahawa inisiatif rondaan bersama di Laut Sulu akan menggunakan kerangka sama yang digunakan dalam rondaan laut Selat Melaka (MSSP).

“Tiga teras dalam MSSP iaitu rondaan dari udara oleh ketiga-tiga tentera udara, koordinasi patrol yang melibatkan tentera laut dan pertukaran maklumat risikan tentera telah diterima untuk dipakai dalam kerangka rondaan bersama di Laut Sulu.

“Kami akan berjumpa lagi bulan depan di Jakarta. Kita harap kerjasama erat ketiga-tiga negara ini dapat meningkatkan lagi ke­selamatan serantau,” katanya.