Pemakaian gelaran itu diisytiharkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Istiadat Pengisytiharan Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Gelaran serta Pengurniaan Darjah Kebesaran di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli serta barisan kepemimpinan kerajaan negeri.

Raja Iskandar dan Raja Izuddin Chulan kemudian mengangkat sumpah gelaran berkenaan di hadapan Sultan Nazrin sebelum menandatangani watikah gelaran dengan disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Samsudin Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Dalam istiadat sama, Sultan Nazrin turut berkenan menganugerahkan Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) kepada Raja Iskandar dan Raja Izuddin Chulan.

Anugerah kebesaran itu turut diberikan kepada Raja Kecil Besar, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Kecil Sulong, Raja Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah.

Dalam istiadat tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan anugerah Darjah Kerabat (DK) kepada Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.