Jumlah tersebut sekali gus mencatat sejarah dalam industri perfileman tanah air apabila mencapai rekod tertinggi untuk kutipan hujung minggu.

Bagi Syamsul, 34, tiada apa yang mampu diluahkannya melainkan rasa syukur yang tidak terhingga serta ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang menonton dan menyokong filem tersebut.

Rentetan kejayaan yang di luar sangkaannya itu, Syamsul yang juga anak kepada pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam sudah merancang untuk menghasilkan sambungan naskhah berkenaan, Munafik 3.

Ketika ini, Syamsul berkenaan, skrip Munafik 3 sedang giat disiapkan dan dijangka menjalani penggambaran pa­da tahun hadapan.

“Skrip untuk nas­khah ketiga Munafik belum siap sepenuhnya. Namun, saya sudah ada bayangan jalan cerita yang sentiasa berlegar-legar di fikiran.

“Rancangan untuk menghasilkan Munafik dalam bentuk trilogi sudah ada sejak pembikinan naskhah pertama pada 2016 lagi,” kata Syamsul lagi.

Tambah Syamsul, sebaik naskhah sulung Munafik memperoleh jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM17.04 juta dua tahun lalu, dia bersemangat untuk menyiapkan Munafik 2.

Justeru, kejayaan Munafik 2 menggandakan lagi semangat dan cita-citanya untuk menghasilkan naskhah seterusnya.

Malah, pengarah muda itu turut mengakui sikap cerewet yang ada dalam dirinya banyak membantu dalam memastikan kualiti karya arahannya sentiasa bertambah baik dari semasa ke semasa.