Kampung itu agak unik kerana hanya boleh dihubungi melalui kereta api, tiada jalan darat pada ketika itu. Kampung itu juga daif. Justeru, penduduk tidak kira kecil besar, tua muda, bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam tersebut. Namun hari ini, sudah ada jalan darat ke kampung itu.

Sebenarnya, kereta api tidak asing bagi penduduk negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Malah, ia turut menjadi nadi di kawasan pedalaman bermula dari Tum­pat sehingga ke Gua Musang.

Tren paling awal bergerak pada pukul 4.30 pagi dan ia juga menjadi pengangkutan utama kanak-kanak ke sekolah di pedalaman Kuala Krai dan Gua Musang.

Pun begitu, perkhidmatan yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu hanya mencakupi kawasan barat negeri ini manakala di kawasan timur yang bersempadan dengan Terengganu tiada kemudahan sedemikian.

Kelmarin, ada khabar gembira untuk rakyat negeri ini. Mereka bakal menerima kereta api laju dalam tempoh tujuh tahun lagi atau lebih awal dari itu yang menghubungi ketiga-tiga negeri di Pantai Timur.

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membuka dimensi baharu untuk Kelantan yang selama ini tidak pernah menerima projek mega dek kerana perbezaan ideologi politik di antara pemerintah negeri dengan Pusat.

Sejak tahun 2004, ‘sekatan’ ke atas negeri ini mula kendur. Universiti awam mula dibuka, kemudahan prasarana ditingkatkan malah lebuh raya yang pertama juga sedang dibina.

Semua ini dibawa oleh kerajaan Pusat yang ditunjangi UMNO dan Barisan Nasional (BN) manakala pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak terus 'membuka pili' pembangunan untuk rakyat negeri ini.

Projek ECRL bukan sahaja kereta api. Ia adalah 'penukar permainan' atau 'penukar minda' kepada rakyat di Pantai Timur khususnya Kelantan.

ECRL bukan sekadar rel. Ia menjadi pemangkin kepada segala aspek kehidupan. Bayang­kan apabila siap landasan sepanjang 688 kilometer ini disasarkan membawa 5.4 juta penumpang dan 53 juta kargo pada setiap tahun menjelang 2030.

Dan pastinya, jika negeri ini dibangunkan dan penduduknya mendapat rahmat, secara tidak langsung juga orang Melayu akan mendapat labanya kerana lebih 90 peratus penduduk Kelantan adalah Melayu.

Natijahnya, ECRL membawa rahmat besar kepada rakyat khususnya orang Melayu.