Menurut Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, perkembangan baik itu berjaya selepas Abdul Rahim telah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan rakannya di Bangkok, Thailand.

“Abdul Rahim dilantik kerajaan Malaysia dan dipersetujui oleh Bangkok. Beberapa siri pertemuan telah dibuat dengan rakannya di Bangkok.

“Lazimnya rundingan ini bersifat dalaman dan adalah lebih baik ia tidak dihebohkan tapi saya tahu ada perkembangan yang baik,” katanya kepada pemberita di  Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) di sini hari ini.

Pelantikan Abdul Rahim mendapat bantahan pelbagai pihak khususnya beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Naib Presiden PKR itu menyifatkan Abdul Rahim sebagai penyerang kejam terhadap seorang lelaki yang tidak bersalah.

Untuk makluman, Malaysia beberapa kali terlibat dalam rundingan damai antara wakil kerajaan Thailand dan Mara Pattani yang mewakili beberapa kumpulan militan di selatan negara itu untuk mencari resolusi bagi menamatkan konflik bersenjata yang mengorbankan lebih 7,000 orang sejak tercetus pada 2004. - UTUSAN ONLINE.