Hasil maklumat diterima Utusan Malaysia, ada pihak yang masih membawa masuk produk berkenaan dari luar negara sebelum dipasarkan segelintir pengusaha dan pengedar alat pertanian tertentu di seluruh negara.

Menurut sumber, bagaima­napun, tidak semua petani mendapat akses untuk membeli racun-racun makhluk pero­sak yang telah diharamkan penggunaannya di negara ini.

“Kebiasaannya, ia tidak dijual secara terbuka di premis mereka atau dalam erti kata lain hanya kepada pelanggan (petani) yang dikenali. Ini bagi mengelak kegiatan mereka dilaporkan pihak berkuasa.

“Sebab itu kalau ada petani yang cuba untuk mendapatkan racun seumpama itu, mereka perlu membuat pesanan daripada petani yang mempunyai hubungan baik dengan penjual racun haram ini sebelum dapat membelinya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Namun, sumber menjelaskan, tidak semua pengedar alat dan bahan pertanian terlibat dengan penjualan racun perosak yang haram dan tidak berdaftar ini.

“Bukan semua terlibat, tetapi boleh dikatakan seluruh negara ada sahaja penjualnya. Penjualan bahan terlarang ini masih berterusan memandang­kan ada permintaan yang tinggi, malah kini ada juga individu yang berani menjualnya menerusi media sosial,” ujarnya.

Sementara itu, Menurut Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban, 31, racun sedemikian termasuk yang dibawa masuk dari China dan Thailand seperti racun Siput Gondang dan racun cap tengkorak begitu popular dalam kalangan petani di Perlis kerana harga murah serendah RM4 sepeket malah berkesan.

“Tauke-tauke kedai selalunya menjual racun tersebut secara sembunyi, produk terlarang ini tidak disimpan di premis mereka. Letak di tempat lain dan apabila ada pelanggan ingin membelinya, barulah barangan tersebut diambil.

“Ini antara sebab pihak pe­nguat kuasa gagal mengambil tindakan apabila operasi dijalankan, barangan tiada di kedai,” jelasnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, keselamatan makanan negara berada dalam keadaan terancam apabila terdapat lambakan serius racun makhluk perosak tidak berdaftar di pasaran tempatan khususnya di negeri seperti Perak, Kedah, Perlis dan Kelantan.

Tambah Mohd. Shazwan, kerajaan perlu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah penjualan racun pe­rosak yang tidak berdaftar ini memandang­kan ia sudah berlarutan sejak sekian lama.