Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, JPV Perak juga melupuskan 78 ekor anjing terbiar dalam tempoh sama selain mengambil sampel daripada haiwan itu untuk dianalisis di Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh.

"Operasi bancian dan survelan dijalankan dalam lingkungan 10 kilometer radius dari lokasi kes jangkitan Rabies dengan keseluruhan populasi haiwan sebanyak 1611 ekor iaitu 431 ekor anjing dan 1,180 ekor kucing dengan jumlah pemilik seramai 554 orang.

"Pihak JPV Perak mengadakan operasi kempen kesedaran mengenai wabak Rabies dan kawalan dibuat dari rumah ke rumah membabitkan 2,492 pemilik haiwan di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada 16 Julai lepas, JPV Perak mengesahkan seekor anjing peliharaan yang positif Rabies telah mati, sembilan hari selepas menggigit dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur 11 dan 12 tahun di Kuala Sepetang.

Berikutan itu, kerajaan negeri mewartakan kawasan Mukim Matang dalam daerah Larut, Matang dan Selama sebagai kawasan jangkitan penyakit Rabies manakala JPV Perak memusnahkan 19 ekor anjing terbiar di kawasan itu pada Isnin sebagai langkah mengekang penularan penyakit tersebut.

Sementara itu, Pengarah JPV Perak Dr Fuziah Muhayat berkata, sebanyak 12 sampel kepala anjing telah diambil dan dihantar ke VRI Ipoh untuk pengesanan penyakit Rabies. "Operasi awal mendapati tiada sebarang petanda klinikal yang dikesan pada haiwan berkenaan," katanya.-BERNAMA