S. Subramaniam
S. SUBRAMANIAM

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subra­maniam berkata, jumlah kes positif rabies termasuk enam mangsa yang maut, di sam­ping peratusan tinggi haiwan khususnya anjing yang dijangkiti adalah membimbangkan.

Sehubungan itu, katanya, semua komuniti masyarakat di negeri ini diminta memastikan anjing peliharaan dan terbiar diberikan vaksin anti-rabies bagi mencegah penularan wabak penyakit tersebut.

“Berdasarkan kajian, didapati 50 hingga 60 peratus anjing yang berada di kawasan wabak membawa virus rabies yang perlu ditangani bagi mengelakkan jangkitan kes baharu.

“Paling selamat, kita andaikan semua anjing adalah pembawa virus rabies dan perlu divaksinkan. Hanya polisi itu yang dapat melindungi manusia.

“Saya tidak fikir ujian darah terhadap semua haiwan diperlukan, sebaliknya lebih praktikal untuk membuat andaian bahawa haiwan itu (anjing) ada virus rabies dan perlu divaksin kerana kos pencegahan diambil ini lebih efektif dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat rumah kes keenam mangsa rabies yang hidup di Kampung Bayur di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Senator Profesor Datuk Dr. Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Jamilah Hashim.

Mengulas lanjut, Subramaniam berkata, usaha memerangi rabies perlu dipertingkatkan untuk melindungi manusia agar tidak menjadi mangsa.

Katanya, langkah tersebut adalah mustahak dan beliau berharap masyarakat memberi sokongan terhadap usaha diambil kerajaan itu kerana apabila dijangkiti, penyakit terbabit tidak boleh dipulihkan.

“Sebanyak 50 peratus anjing yang menggigit mangsa mempunyai peluang membawa virus rabies,” katanya.

Dalam pada itu, Subramaniam menyambut baik usaha dilakukan kerajaan negeri bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Jabatan Veterinar untuk memberikan vaksin anti-rabies kepada semua haiwan khususnya anjing di negeri ini.

Mengulas mengenai mangsa keenam rabies yang selamat, beliau berkata, kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu kini mengalami kecacatan otak dan terlantar bergantung kepada mesin bantuan alat pernafasan.

Katanya, kes mangsa yanghidup memang jarang berlaku kerana kurang 20 pesakit rabies di dunia terselamat selepas dijang­kiti virus berkenaan.

“Kebanyakan kes jangkitan rabies berakhir dengan maut disebabkan tiada rawatan spe­sifik boleh diberikan kepada mang­sa, cuma pencegahan sahaja. Sekalipun jika terselamat, akhirnya akan menjadi seperti keadaan dialami mangsa sekarang,” jelasnya.