MUHAMMAD MUQHARABBIN
MUHAMMAD MUQHARABBIN

Menerusi telefon satelit, beliau yang juga dikenali sebagai Qobin memaklumkan kejayaannya menamatkan Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) Penjelajah Grand Slam Malaysia 2017 di benua tersejuk dunia itu selepas berski sejauh 111 kilometer (km) dari Union Glacier, Antartika.

Dengan kejayaan itu, Qobin kini bergelar penjelajah Grand Slam pertama negara, selain diiktiraf sebagai individu kedua di Asia Tenggara serta umat Islam ketiga dan termuda di dunia meraih gelaran tersebut.

Menurutnya, kejayaan ekspedisi itu melengkapkan syarat untuk diiktiraf sebagai penjelajah Grand Slam iaitu menamatkan pendakian tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia, berski ke titik 0 darjah Kutub Utara dan berski ke titik 90 darjah Kutub Selatan.

Kesemua ekspedisi itu berjaya ditamatkan dalam tempoh 13 tahun dengan ekspedisi pertama mendaki puncak tertinggi dunia, Gunung Everest (benua Asia) pada 2004, Kosciuszko (Australasia, 2006), Kilimanjaro (Afrika, 2010), Aconcagua (Amerika Selatan, 2010), Vinson Massif (Antartika, 2011), McKinley (Amerika Utara, 2012) Elbrus (Eropah, 2012) dan Carstenzs Pyramid (Oceania, 2014).

Sementara itu, Pengarah Media dan Publisiti Kelab Eksplorasi KE7B, Hazran Mohamed memberitahu, Qobin telah menamatkan penjelajahan di titik 0 darjah Kutub Utara pada April lalu.

“Hari ini, penjelajahan titik 90 darjah Kutub Selatan berjaya ditamatkan dalam keadaan cuaca sejuk beku -26 darjah selsius,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.