Pengarah Media dan Publisiti Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B), Hazran Mohamed berkata, dengan memasuki hari keempat, Qobin dijangka menghabiskan 20 kilometer (km) lagi pada hari ini, sekali gus mencatatkan perjalanan sejauh kira-kira 61.5 km daripada keseluruhan 111 km penjelajahan ski yang perlu ditempuhinya.

Menurut beliau, perkembangan tersebut dimaklumkan oleh penjelajah negara itu menerusi panggilan telefon satelit kepada urus setia Projek Negara-Malaysia Explorers Grand Slam 2017 pada petang tadi.

“Pada hari pertama, Qobin berjaya mena­matkan sejauh 6.5 km, hari kedua sejauh 15 km dan semalam (hari ketiga) beliau berski sejauh 22 km.

“Qobin menerusi pang­gilan telefon sa­telitnya turut memaklumkan beliau dalam keadaan sihat dan sangat bersemangat untuk menamatkan misinya sekali gus bakal menjadi rakyat Malaysia pertama bergelar Penjelajah Grand Slam, individu kedua dari rantau Asia Tenggara dan orang Islam ketiga dan termuda mendapat pengiktirafan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, menurut Hazran, cuaca yang baik tanpa ribut salji atau angin kencang turut membolehkan Qobin yang juga Presiden KE7B berski mencapai jarak yang agak jauh pada hari ini dan semalam.

“Malah, suhu siang hari di Kutub Selatan pada musim panas ketika ini dilaporkan mencatat paras negatif 26 darjah Celcius,” katanya.

Pengiktirafan `Penjelajah Grand Slam’ diberikan apabila seseorang individu menamatkan siri pendakian di tujuh puncak tertinggi di tujuh benua di dunia, selain penjelajahan ke Kutub Utara dan Kutub Selatan.

Qobin sebelum ini, berjaya mendaki tujuh puncak gunung di tujuh benua pada 2010 dan berski di Kutub Utara pada April lalu.

Penjelajahan di Kutub Selatan ini merupakan fasa terakhir dalam misi meraih pengiktirafan tersebut.