Kedua-dua mereka dipi­lih sebagai pemenang dengan pungutan markah keseluruhan tertinggi bagi qari iaitu 87.50 peratus dan qariah 84.34 peratus.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan kedua-dua me­re­ka membawa pulang hadi­ah utama berupa wang tunai RM15,000, wang tunai tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, piala iringan dan sebuah kereta Proton Exora.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Maj­lis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 1439H/2018 di Kompleks Islam Putrajaya di sini malam ini.

Yang hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, Qari Melaka, Azraie Abd. Hak dan Qari Perak, Dr. Anuar Hasim masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga dengan markah 86.67 dan 86.66 peratus.

Bagi kategori wanita pula, tempat kedua menjadi milik Qariah Selangor, Nor Ruzana Natiah Jaafar (84.00 peratus) dan tempat ketiga dimenangi Qariah Terengganu, Norhidayah Abd. Rahman (83.66 peratus)

Selain itu, enam peserta turut dipilih sebagai johan hafazan al-Quran lelaki dan wanita bagi tiga ka­tegori sempena penganjuran serentak kedua-dua majlis ber­kenaan tahun ini.

Bagi hafazan kategori juzuk 1-30 berserta tafsir, johan lelaki dimenangi wakil Selangor, Muhammad Amir Ikmal Khairul Anu­ar dengan markah 96.36 pera­tus manakala kategori wanita diungguli wakil Wilayah Persekutuan, Siti Nadhira Mohd. Shafie (96.46 peratus).

Johan hafazan juzuk 1-20 pula dimenangi hafiz Perak, Muhammad Dzulfaqor Mohd. Zaine (98.19 peratus) dan hafizah Ne­geri Sembilan, Siti Najihah Zamri (96.51 peratus) manakala johan kategori juzuk 1-10 ma­sing-masing milik hafiz Wilayah Persekutuan, Sheikh Muhammad Aiman Hafiy Hishamuddin (98.74 peratus) dan hafizah Johor, Siti Nurhidani Mohamad Dun (98.29 peratus).

Johan lelaki dan wanita kate­gori utama hafazan juzuk 1-30 membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji, piala iringan dan kereta Perodua Axia.

Kelantan dipilih sebagai johan keseluruhan tilawah manakala johan keseluruhan hafazan diungguli Johor.

Sebanyak 28 peserta mengambil bahagian dalam tilawah tahun ini dengan terdiri daripada 14 qari dan 14 qariah yang mewakili setiap negeri.

Selain pertandingan tilawah al-Quran, sebanyak 79 orang yang terdiri daripada 42 lelaki dan 37 wanita menyertai kategori hafazan.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika berucap menyatakan kerajaan komited untuk mewujudkan Quranic Society (masyarakat al-Quran) di negara ini dengan mewujudkan dasar sama ada di peringkat persekutuan dan ne­geri.

Menurut beliau, antara usaha tersebut adalah penubuhan ins­titut pendidikan agama dan sekolah tahfiz bagi melahirkan ge­nerasi masyarakat al-Quran.

“Penganjuran acara seperti ini (majlis tilawah) menunjukkan negara kita terus istiqamah bukan hanya menganjurkan majlis ini tetapi lebih penting, adalah usaha kesinambungan untuk mewujudkan masyarakat al-Quran,’’ katanya.