Presidennya, Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor berkata, ke­seluruhan bayaran masuk daripada peserta acara yang julung kali diadakan itu akan disumbangkan kepada dana Kempen Tabung Hari Pahlawan 2016.

“Dalam Warriors Challenge 2016, peserta yang kita sasarkan kebanyakannya daripada gene­rasi muda akan melalui hala­ngan di kem askar sebenar yang sukar untuk orang awam mendapat akses sebelum ini.

“Selain menyeronokkan dan dapat menderma, acara ini juga dapat menyuntik semangat patriotisme apabila mereka merasakan sendiri sebahagian daripada latihan ketenteraan yang tentera kita jalani,” katanya dalam majlis Pelancaran Warriors Challenge 2016 dan majlis Utusan Mengingati dan Menghargai Veteran ATM di Dewan Besar Ibu Pejabat Utusan Melayu di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ke­tua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor; Timbalan Pre­siden PVATM, Datuk Sharuddin Omar dan Ketua Pene­rangan PVATM, Datuk Rosle Jaamat serta Penolong Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Datuk Jesbil Singh..

Warriors Challenge 2016 akan berlangsung di Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Sg. Besi dan melibatkan lima di­siplin halangan utama iaitu Perlumbaan Halangan; Kembara Berjalan Kaki di Bukit Besi; Puncak Rock Climbing; Cross Country dan The Finisher.

Yuran penyertaan adalah RM100 dan keterangan lanjut mengenainya boleh didapati di laman sesawang http://warisanad.com/warriorschallenge/.

Tambah Mohd. Anwar, selain mempromosikan Kempen Tabung Hari Pahlawan, cabaran tersebut juga merupakan inisiatif pihaknya untuk mendekatkan golongan muda dengan barisan pertahanan negara.

“PVATM telah memulakan pelbagai kaedah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai sumbangan dan pengorbanan anggota ke­selamatan negara mengekalkan kedaulatan dan keselamatan negara.

“Cabaran ini terbuka kepada semua orang berusia 18 tahun ke atas dan kami berharap ramai anak muda yang akan menyertainya untuk merasakan sendiri ‘cabaran ketenteraan’ untuk menguji diri masing-masing,” katanya.