DR SUDIN HARON
DR SUDIN HARON

Semenjak itu, wakaf menjadi kelaziman dalam kalangan umat Islam. Di Malaysia sendiri, amalan berwakaf mula menjadi fenomena pada awal 90-an apabila perkataan ‘wakaf’ menimbulkan kesedaran masyarakat Islam bahawa ia boleh digunakan sebagai alat mobilisasi pengurusan hal ehwal harta yang lebih teratur dan komprehensif.

Menurut Pengerusi Pusat Wakaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Prof. Datuk Dr. Sudin Haron, kesan daripada ke­sedaran itu, ada Majlis Agama Islam Negeri menubuhkan perbadanan wakafnya sendiri bagi menyuburkan lagi amalan berwakaf.

“Bagi Pusat Wakaf MAIWP (PWM), ia adalah anak syarikat milik MAIWP yang didaftarkan pada Ogos 2014 dan berfungsi me­nguruskan dana wakaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Objektif penubuhan PWM adalah untuk mengurus dana wakaf MAIWP secara menyeluruh bagi pelaksanaan pembangunan hartanah wakaf untuk kepenti­ngan masyarakat Islam selari de­ngan dasar MAIWP.

“Selain itu, syarikat juga bertanggungjawab melaksanakan pembangunan tanah wakaf secara efisien bagi hasil pulangan yang dapat memberikan impak yang besar terhadap kemajuan ekonomi umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Jelasnya lebih lanjut, PWM turut membangunkan beberapa bentuk wakaf baharu iaitu wakaf tunai dan wakaf aset.

“Wakaf tunai adalah wakaf yang diterima secara tunai daripada orang ramai secara langsung, melalui potongan gaji atau secara kutipan menerusi tabung-tabung yang diletakkan di masjid-masjid terpilih di Wilayah Persekutuan. Sejak dimulakan pada 2017 sehingga hari ini, kutipan wakaf tunai telah mencecah RM280,000.

“Wakaf tunai ini akan ditukarkan kepada harta kekal yang mana hasil manfaat wakaf tunai akan digunakan untuk kebajikan dan pemba­ngunan ummah selain disalurkan bagi kepentingan agama dan pembangunan sosioekonomi ummah seperti pembinaan sekolah, masjid, surau dan sebagainya.

“Bagi wakaf aset pula ia adalah wakaf dalam bentuk aset seperti rumah, tanah, saham dan lain-lain. Sebagai contoh, PWM memper­kenalkan Skim Wakaf Sijil Saham yang membolehkan orang ramai membeli saham dan mewakafkannya kepada PWM,” ujarnya.

Katanya lagi, PWM turut me­laksanakan beberapa projek wakaf lain seperti Darul Ilmi, Darul Kifayah dan Darul Hidayah.
Darul Ilmi ditubuhkan sebagai institusi yang menyediakan pendidikan mengikut sistem pondok kepada warga emas yang berminat mendalami ilmu agama. Pusat ini mengguna pakai pengajian Islam ala pondok yang
menyediakan penginapan dan bukan berkonsepkan pusat jagaan warga emas.

Sementara Kompleks Darul Hidayah pula adalah pusat sehenti untuk saudara baharu. Pembinaan kompleks itu menunjukkan keprihatinan dan kesungguhan MAIWP untuk membantu saudara baharu di negara ini.

Bagi Darul Kifayah, ia ditubuhkan bertujuan menjaga ke­sejahteraan anak yatim, asnaf dan pelajar-pelajar miskin dengan mengadakan tempat kediaman sementara, memberi bimbingan agama dan akhlak serta menyediakan kemudahan pendidikan yang sempurna dalam usaha melahirkan individu muslim yang berakhlak mulia dan berketrampilan.

“Selain itu, PWM juga akan be­kerjasama dengan bank-bank islamik seperti Bank Islam, Bank Muamalat, CIMB Islamic dan lain-lain  termasuk Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) serta rakan strategik bagi kutipan wakaf PWM,” katanya.

Menurutnya, selain me­lak­sanakan tanggungjawab yang diberikan, PWM akan terus me­laksanakan program sosialisasi untuk membudayakan amalan wakaf dalam masyarakat khusus­nya dalam meningkatkan ekonomi asnaf di Wilayah Persekutuan.

“Program ini amat penting untuk membuka minda masyarakat Islam khususnya agar mereka dapat memahami sepenuhnya konsep sebenar wakaf.

“Selaras dengan perkemba­ngan dan tuntutan semasa juga, PWM akan sentiasa melaksanakan transformasi dengan memperkenalkan pelbagai bentuk wakaf baharu agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat Islam terutamanya dari segi pembangunan ekonomi,” katanya.