Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, selain itu, Kementerian juga menawarkan rumah lain untuk didiami oleh keluarga berkenaan bagi mengurangkan trauma kejadian.

“Namun bapa mangsa, Khairul Anwar tidak bercadang untuk berpindah ke rumah lain malah akan terus menetap di rumah yang mencatatkan kejadian yang menyayatkan hati ini.

“Saya berharap beliau dan seluruh ahli keluarga akan terus tabah terhadap kejadian yang menimpa anak bongsu mereka ini dan Kementerian bercadang untuk menemui keluarga ini lagi dan menawatkan khidmat kaunseling,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat tempat kejadian dan menemui keluarga Siti Nadirah Khairul Anwar 3, yang maut akibat terjatuh dari beranda dapur, dalam kejadian yang berlaku awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, dikatakan mangsa ditinggalkan sendirian apabila kakaknya yang berusia 14 tahun keluar untuk menghantar abang mangsa ke sekolah. Sementara ibu bapa mereka telah keluar pergi berniaga di Bukit Jelutong.

Zuraida berkata, ekoran kejadian ini kementerian bercadang untuk membuka pusat jagaan kanak-kanak sementara atau transit di setiap blok-blok perumahan.

“Ini bagi membolehkan para ibu yang merupakan suri rumah sepenuh masa dapat meninggalkan anak mereka di pusat jagaan itu jika mereka mempunyai urusan penting di luar.” katanya - UTUSAN ONLINE