Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, bantuan itu adalah permulaan yang baik dan mampu mencapai matlamat jika dana disalur secara teratur serta tepat kepada sasaran.


Beliau berkata, majoriti pusat tahfiz yang beroperasi secara persendirian mempunyai kekangan kewangan, justeru menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membantu institusi berkenaan.


“Pusat tahfiz tidak mempunyai kewangan yang besar dan hampir kesemuanya hidup dengan bayaran yuran sahaja sedangkan bagi meningkatkan ciri keselamatan, mereka memerlukan perbelanjaan tinggi.


“Kita tahu segelintir pengusaha mungkin ada niat untuk berniaga tapi sebahagian besar adalah ikhlas demi memenuhi sebahagian tuntutan agama.


“Tragedi kebakaran yang berlaku perlu menjadi iktibar dan kita sebagai orang Islam patut beri sokongan moral dan material kepada semua pusat-pusat tahfiz seluruh negara,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.


Seramai 2,000 peserta mewakili 62 kontinjen terlibat dalam program sambutan dengan tema ‘Sehati Sejiwa Bersama Islam’ tersebut. 


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan kerajaan telah meluluskan dana sebanyak RM30 juta bagi membantu menaik taraf pusat tahfiz swasta di seluruh negara terutama dalam aspek keselamatan. - UTUSAN ONLINE