Menerusi pusat sehenti itu yang diadakan di Hotel Ayer Keroh D’Village di sini, para usahawan yang berminat boleh mendapatkan kemudahan perniagaan yang disediakan agensi di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Pengerusi Gabem, Tan Sri Dr. Rahim Tamby Chik berkata, menerusi kemudahan itu, golongan usahawan akan diberi pendedahan mengenai peluang-peluang perniagaan, pembiayaan dan khidmat nasihat dalam perniagaan menerusi ceramah penerangan yang akan diadakan dari semasa ke semasa.

“Gabem berharap peluang yang disediakan ini dapat digunakan para usahawan untuk menambah baik bidang perniagaan masing-masing menerusi kemudahan dan pelbagai khidmat yang disediakan.

“Kerjasama yang ditunjukkan pelbagai agensi dengan menyertai program pusat sehenti ini merupakan bilangan yang terbanyak sejak Gabem mengadakan pusat sehenti di beberapa lokasi di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pusat sehenti tersebut di hotel itu di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Gabem, Datuk Mohammad Izat Hassan dan Pengarah RISDA Melaka, Alias Japri.

Program tersebut disertai kira-kira 450 peserta terdiri daripada usahawan bumiputera dan sebanyak 17 agensi kerajaan dan kementerian berkaitan pembangunan usahawan.

Kesemua agensi itu terlibat dalam menyediakan bantuan latihan, kewangan dan premis kepada para usahawan yang berminat.

Pada majlis itu, Gabem turut melancarkan kumpulan aplikasi WhatsApp Gabem dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan hubungan strategik dengan para pemimpin badan-badan ekonomi Melayu.

Menerusi aplikasi ini, para ahlinya dapat berinteraksi dan membincangkan isu-isu semasa khususnya berkaitan bidang ekonomi Melayu dan bumiputera. - UTUSAN ONLINE