Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memakkumkan, pengoperasian DTBKN akan mengguna model Program Makanan Sedunia (WFP) - Depot Respons Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRD) di Subang yang menguruskan misi bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi rantau Asia Pasifik.

Katanya, DTBKN yang mempunyai keluasan 12,486 meter persegi ditubuhkan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kementerian Pertahanan.

“Depot ini menggunakan kemudahan sedia ada di Depot Simpanan Pertahanan di Sungai Buloh berikutan lokasinya yang strategik serta berhampiran dengan jaringan Lebuh Raya Utara-Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dan Pelabuhan Klang.

“Pengurusan DTBKN akan dikendali oleh pegawai dan kakitangan sedia ada di Depot Simpanan Pertahanan serta dibantu oleh pegawai Bahagian Logistik Nadma sehingga perjawatan bagi depot berkenaan diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Pada masa sama, Nadma akan menjadikan DTBKN sebagai Pusat Latihan Logistik dan pusat kecemerlangan bagi pengurusan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana di peringkat antarabangsa,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Pengurusan Bencana Negara di bangunan Parlimen hari ini.

Yang turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan, Nadma dengan kerjasama Agensi Remote Sen­sing Malaysia (ARSM) telah membangunkan sistem e-logistik bagi memastikan pengurusan dan bantuan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, sistematik dan berkesan.