Pusat penyelidikan yang di­khususkan untuk kajian biji benih sayur-sayuran tropika itu diba­ngunkan di kawasan seluas 20 hektar di Kampung Biong, Sauk di sini dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Ketua Pegawai Eksekutif Enza Zaden, Jaap Mazereeuw berkata, pusat penyelidikan itu dilengkapi dengan rumah hijau untuk kajian benih selain fasiliti bangunan sokongan.

Menurutnya, pusat penyelidikan itu membangunkan biji benih sayur baharu yang bertujuan meningkatkan penghasilan dan kualiti tanaman.

“Sudah tentunya para pekebun akan mendapat faedah daripada penghasilan biji benih yang bermutu tinggi kerana ia dapat meningkatkan hasil pendapatan selain produk yang dipasarkan juga amat berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian pusat R&D tersebut di Kampung Biong di sini semalam.

Majlis dirasmikan oleh Pe­nge­rusi Jawatankuasa Pemba­ngunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pem­bangunan Modal Insan nege­ri, Datuk Saarani Mohamad.

Turut hadir Pengarah Serantau Asia Anza Zaden, Pankaj Malik dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq.

Jaap Mazereeuw berkata, sya­rikat yang diasaskan daripada perniagaan keluarga itu mempunyai pengalaman menghasilkan biji benih pertanian berkualiti tinggi sejak 80 tahun lalu.

Menurutnya, berpegang kepada falsafah manusia harus mempunyai akses untuk menikmati sayuran yang berkhasiat, syarikat itu berjaya membangunkan pelbagai jenis biji benih pertanian khususnya sayuran yang bermutu tinggi di seluruh dunia.

“Dengan 45 anak syarikat di seluruh dunia, kami menghasilkan biji benih berkualiti untuk sayur seperti salad, lada benggala, tomato, timun, bawang dan lada hitam,” katanya.

Menurutnya, syarikat itu memilih Malaysia sebagai pusat R&D di rantau ini kerana negara ini merupakan lokasi strategik bukan sahaja untuk perniagaan tetapi juga sebagai pusat kajian dan logistik biji benih di seluruh Asia Tenggara.

“Negara ini merupakan ibu pejabat syarikat kami di rantau ini, juga untuk lokasi pusat R&D dan hab logistik untuk Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, Pankaj Malik berkata, para pelanggan di Asia Tenggara dijamin mendapat biji benih pertanian yang memenuhi standard tinggi antarabangsa dari segi kadar percambahan, keaslian genetik dan fizikal serta biji benih yang sihat.

Menurutnya, aktiviti Enza Za­den di Asia Tenggara memenuhi strategi rantau ini untuk memodenkan pertanian dan meningkatkan pendapatan para petaninya.

“Aspek penting dalam memo­den­kan aktiviti pertanian ialah dengan memastikan akses yang mudah kepada teknologi dan pengetahuan untuk petani sejak mereka memulakan penanaman lagi.”

“Aspirasi kerajaan untuk me­ningkatkan pendapatan petani boleh dicapai menerusi amalan pertanian yang baik yang mana ia merangkumi benih yang berkua­liti,” katanya.