Pusat berkenaan yang terletak di Mu’tamarat Nasiriyah bertu­juan menangani penyebaran ideo­logi ekstremis di alam maya serta menggalakkan kesederhanaan, be­las kasihan dan menyokong penyebaran agenda positif.

Penubuhan pusat itu hasil kerjasama antarabangsa dalam menghadapi ideologi melampau yang membawa kepada keganasan serta sebagai mesej kepada Barat dan dunia bahawa Islam bukan musuh.

Hadir sama lebih 50 pemimpin negara Arab dan Islam yang menyertai Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab, Islam, Amerika Syarikat yang berakhir lewat petang Ahad, waktu tempatan.

Terdahulu, sejurus sidang kemuncak itu berakhir, Najib turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan dari Bangladesh, Sheikh Hassina yang membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa.

Turut hadir, Menteri Pertahanan yang juga Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Najib mengakhiri hari kedua lawatan kerjanya dengan menghadiri Forum TWEEPS 2017 di sebuah hotel di sini yang dihoskan oleh Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz.

Forum tersebut memberi tum­puan kepada bagaimana ma­syarakat hari ini memanfaatkan rangkaian media sosial untuk kebaikan sosial serta menangani ekstremisme dan keganasan.

Ivanka Trump, anak yang juga Penasihat Presiden AS ketika berucap pada forum itu menyentuh mengenai kuasa media sosial.

“Media sosial adalah alat yang amat berkuasa yang memberi kuasa kepada rakyat dan generasi akan datang, generasi anda,’’ katanya kepada kira-kira 400 orang peserta. – UTUSAN