Presiden yang juga Pengarah Urusan KPJ, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, pada peringkat permulaan, pihaknya merancang membuka lima Pusat Kesihatan KPJ di sekitar Lembah Klang, pada tahun depan.

“Pembukaan pusat kesihatan itu akan diteruskan di negeri-negeri lain selepas itu. Apa yang pasti, matlamat kita adalah bagi memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat tidak kira di mana sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hospital Pakar KPJ Perlis, sebuah hospital swasta pertama di negeri ini, di sini hari ini.

Perasmian hospital tersebut disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Syed Omar Syarifuddin Syed Ihsan dan Pengurus Besar Hospital Pakar KPJ Perlis, Sharian Hussain.

Sementara itu, Amiruddin berkata, pihaknya merancang untuk membina sekurang-kurangnya lima hospital baharu di seluruh negara dalam tempoh beberapa tahun ke depan.

Katanya, lokasi pembinaan tersebut antaranya seperti di Lembah Klang, Selangor, Johor dan Melaka.

“Dalam tempoh terdekat ini pula, sebanyak tiga hospital baharu yang proses pembinaannya 90 peratus siap akan dibuka tahun depan iaitu di Miri, Sarawak, Sri Gading, Batu Pahat dan Bandar Dato Onn, Johor," katanya. - UTUSAN ONLINE