Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata, keperluan ke arah itu turut dirasakan mendesak susulan kajian  oleh SKMM  sejak tahun 2010 dalam beberapa fasa bersama universiti tempatan, International Medical University dan Heriot-Watt University Malaysia.

"Hasil kajian itu terhadap responden yang mendapati sebahagian besar daripadanya mengalami masalah ketagihan internet malah mengakui mengalami kemurungan yang tinggi sekiranya tidak mempunyai akses kepada internet.

"Daripada 725 responden, 89 peratus ketagih kepada internet, 67 peratus menunjuk kepada tahap keresahan diikuti 32 peratus menunjuk kepada tahap kemurungan... maknanya memang membimbangkan," katanya kepada pemberita selepasa merasmikan Majlis Berkhatan dan Bertindik Parlimen Hulu Terengganu di Dewan Sivik Ajil, hari ini.

Bagi menjayakan usaha itu, modul-modul intervensi akan dibangunkan dalam menangani isu ketagihan bermain permainan dalam talian, ketagihan melayari kandungan lucah dalam talian dan sistem sokongan keluarga.

"Pihak SKMM turut bekerjasama dengan beberapa pihak lain kini berusaha melaksanakan program kesedaran awam mengenai penggunaan Internet termasuklah  dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui program Digital Dakwah dan Kementerian Pendidikan melalui program Pembimbing Rakan Sebaya.

"Juga Persatuan Pengakap Malaysia melalui program Digital Literacy and Leadership di samping Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara melalui pembangunan modul Pendidikan Keselamatan Keluarga dan Anak," ujar Jailani. - UTUSAN ONLINE