Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam satu kenyataan berkata, buat permulaan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan) akan bekerjasama dengan universiti awam tidak lama lagi untuk melatih sehingga 3,000 orang profesional bagi Projek Rel Laluan Pantai Timur.

“Pusat ini akan diselia oleh SPAD dan akan mengenal pasti, melatih serta menawarkan pengiktirafan kepada pekerja mahir bagi sektor rel negara.” ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, langkah berkenaan memenuhi aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Dalam Bajet 2018 yang diumumkan Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan berhasrat menubuhkan Pusat Kecemerlangan Rel Negara bagi menyokong perkembangan industri pekerja mahir dlm bidang rel yang akan dikendalikan oleh SPAD.

Kerajaan turut memperuntukkan RM45 juta untuk industri pengangkutan dalam memperkenalkan inisiatif berasaskan teknologi bagi meminimumkan kemalangan akibat kecuaian manusia dan keletihan, khususnya pemandu bas ekspres adalah tepat pada masanya.

Pengumuman kerajaan berhubung geran RM5,000 untuk pemandu teksi yang layak dan mahu bertukar kepada perkhidmatan e-hailing, menandakan kerajaan progresif dan prihatin.- UTUSAN ONLINE