Pusat jagaan yang menempatkan seramai 211 orang penghuni terdiri daripada kanak-kanak seawal usia tujuh tahun tersebut sebelum ini telah dikenakan Notis Lak yang dikeluarkan pada 11 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, pusat jagaan yang didaftarkan sebagai Pusat Rawatan Amal itu dikenakan tindakan tersebut kerana didapati tidak berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kita menerima aduan daripada orang ramai tentang kegiatan kanak-kanak ini yang meminta derma di serata tempat dan saya juga pernah dihampiri penghuni pusat itu di Jalan Duta, Kuala Lumpur sebelum seorang lagi di Tapah, Perak.

"Saya beritahu apa yang mereka buat ini tidak betul tetapi mereka mengatakan mereka dilatih untuk menjadi usahawan yang mana skrip yang digunakan boleh dikatakan hampir sama," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Azahari Mohamad.

Baru-baru ini, tular dalam aplikasi WhatsApp dan Facebook video berdurasi 3 minit 37 saat yang kononnya penghuni pusat jagaan itu termasuk anak-anak yatim dihalau dari tempat perlindungan mereka

Jelas Ismail, tindakan lak diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Eksploitasi Kanak-Kanak di Pusat Rawatan Amal pada 5 Mac lalu dan tindakan tersebut akan dilakukan JKM mengikut Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 (Pindaan) 2007.

Kata beliau lagi, siasatan mendapati hanya 11 orang kanak-kanak merupakan anak yatim manakala selebihnya masih mempunyai ibu bapa termasuk dalam kalangan kakitangan pusat jagaan berkenaan.

"Sekiranya penghuni masih ada ketika tindakan lak dilakukan, JKM akan memberikan perlindungan kepada 11 orang anak yatim terlibat manakala penghuni lain akan diserahkan semula kepada ibu bapa masing-masing," ujarnya.

Tambah beliau, pusat jagaan yang beroperasi sejak 2005 itu telah dikenakan banyak tindakan termasuk premis diarahkan ditutup selain menghadapkan pengetuanya ke mahkamah.

"Pusat jagaan ini masih berdegil dan mereka sering menukar nama serta berpindah-randah untuk terus beroperasi secara haram. Mereka menggunakan kanak-kanak untuk melahirkan simpati orang ramai bagi mendapatkan sumbangan dan itulah cara yang dilakukan bagi mencari dana," dakwanya. - UTUSAN ONLINE