Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya telah mempunyai nama dan logo untuk pusat jualan tersebut dan ia hanya akan diumumkan pada majlis pelancaran kelak.

Katanya, sebanyak 1,000 permohonan diterima tetapi hanya 36 usahawan bumiputera yang dipilih berpeluang menjalankan perniagaan di pusat jualan komputer dan gajet tersebut.

“Bagaimanapun, usahawan-usahawan yang gagal dalam proses pemilihan tidak perlu bimbang kerana sekiranya jualan di Bangunan Mara ini berjaya, kita bercadang untuk membuka dan memperluaskan lagi pusat jualan di seluruh negara.

“Perancangan kita bukan hanya membuka di bandar-bandar utama tetapi turut meliputi di pekan-pekan kecil kerana kita turut mempunyai kemudahan Arked Mara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau berucap dan menyempurnakan Hari Inovasi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) 2015 di sini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, beliau berharap usahawan-usahawan yang bakal berniaga di pusat tersebut akan memastikan barangan yang dijual berkualiti dan meletakkan harga berpatutan.

Katanya, langkah itu perlu bagi memastikan mereka tidak melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan selain menjadikan pusat jualan itu dapat bersaing secara sihat dengan perkhidmatan yang sama seperti di Bukit Bintang dan bangunan Pertama Kompleks.

Ogos lalu, Ismail Sabri mencadangkan pembukaan pusat jualan komputer dan gajet bagi memenuhi keperluan orang ramai yang sebelum ini hanya tertumpu di Plaza Low Yat di Jalan Imbi.

Dalam perkembangan lain, beliau menggesa warga kementerian dan agensi di bawahnya memastikan produk inovasi yang dihasilkan boleh memberi manfaat, praktikal dan mampu dimiliki supaya ia dapat mengubah gaya hidup dan meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar khususnya.

Katanya, tidak guna jika produk tersebut berjaya memenangi pelbagai anugerah tetapi gagal dikomersialkan kepada pengguna berikutan harganya yang mahal.