Pengerusi MIGHT yang juga Penasihat Sains Perdana Menteri, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid berkata, inisiatif pihaknya memperkenalkan STEM bagi membuka peluang dan platform kepada industri untuk berkongsi kepakaran kepada pelajar sekolah dan universiti.

"Dengan usahasama Honeywell, kita bersama pakar akan memupuk minat pelajar untuk mengikuti bidang STEM di peringkat sekolah mahupun universiti bagi menyemarakkan semangat mereka kepada ilmu sains dan matematik.

"Justeru, ia membuka potensi pelajar sekolah dan universiti agar memiliki pemikiran kreatif, kritis dan inovatif dalam bidang ini," katanya.

Beliau ditemui pada sesi perkongsian dengan Pemenang Nobel 1998 dalam bidang Fizik, Prof. Robert B. Laughlin dalam Program Ignite Passion in STEM and Inspire, di sini hari ini.

Katanya, perkongsian kepakaran bersama pakar berkaitan akan menjadi sumber inspirasi kepada pelajar untuk berinteraksi dengan komuniti sekali gus memahami kepentingan ilmu sains dan teknologi ini kepada masa depan negara.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden Asia Pasifik, Sumber Manusia Honeywell, Sarinah Bakar. - UTUSAN ONLINE