Apatah lagi dalam kalangan pelajar sekolah, pengalaman sebegitu tidak mungkin diperoleh kerana bukan merupakan sebahagian aktiviti sekolah meskipun mereka perlu mengikuti subjek Sejarah.

Faktor itu juga membawa kepada penganjuran Program Ahli Arkeologi Muda (Young Archa­eologists’ Programme) Fort Cornwallis hasil inisiatif Perbadanan Pemuliharaan dan Pembangunan Georgetown (GTCDC) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM).

Menariknya mengenai program ini, ia membuka peluang kepada pelajar sekolah berusia antara 10 dan 17 tahun merasai sendiri pe­ngalaman sebenar menjalankan kerja-kerja ekskavasi di tapak wa­risan Fort Cornwallis yang berusia kira-kira 231 tahun.

Dengan bimbingan sekumpulan pakar arkeologi USM diketuai Dr. Goh Hsiao Mei, para pelajar berke­naan dilibatkan secara langsung dalam kerja-kerja menggali, me­meta dan merekodkan pe­nemuan artifak di tapak sejarah berkenaan.

Menurut Hsiao Mei yang juga pensyarah di USM, dipercayai le bih 1,500 pelbagai jenis artifak di tinggalkan di tapak Fort Cornwallis dan pelajar terbabit berpeluang menemukan sebahagian artifak berkenaan ketika mengikuti program tersebut, sekali gus disifatkan sebagai satu pengalaman istimewa buat mereka.

Ujarnya, antara artifak yang ditemui tertanam dalam binaan berupa parit yang mengelilingi kubu ber­kenaan adalah syiling lama, tembikar, perkakasan perhiasan daripada porselin, senjata, peralatan memasak dan banyak lagi.

Hsiao Mei berkata, program berkenaan mampu menyuntik rasa cinta dan minat generasi muda terhadap bidang arkeologi yang sebelum ini sering dianggap tidak popular sebagai pilihan kerjaya.

“Sejak dimulakan pada Mei lalu, program ini sudah berjaya diadakan sebanyak lapan sesi membabitkan 200 pelajar dari beberapa buah sekolah di negeri ini.

“Selain menjalankan kerja-kerja menggali, memeta dan merekodkan artifak yang ditemui, para pelajar turut berkongsi ekspresi mereka sepanjang terlibat dalam kerja-kerja ekskavasi dengan peng­hasilan poster,” katanya.

Beliau menggalakkan lebih ramai pelajar sekolah terbabit dalam kerja-kerja penyelidikan di tapak sejarah Fort Cornwallis menerusi program berkenaan.

Menurutnya, pelajar terlibat akan mengikuti dua sesi dalam program itu iaitu pada setiap Sabtu selama kira-kira dua jam bermula pada pukul 9 pagi.

“Pada Sabtu yang pertama, pelajar akan menjalankan kerja-kerja menggali di tapak sebenar dengan bimbingan beberapa penyelia yang juga penuntut arkeo­logi USM.

“Pada Sabtu kedua pula, mereka didedahkan dengan kaedah memeta dan merekodkan serta mendokumentasikan hasil pe­nemuan artifak mereka,” katanya.

Hsiao Mei berkata, Program Ahli Arkeologi Muda Fort Cornwallis itu sebahagian daripada kerja-kerja penyelidikan yang dijalankan beliau di tapak tinggalan sejarah berkenaan yang bermula lebih awal iaitu pada Februari lalu.

Ujarnya, kerja-kerja penyelidikannya itu dibantu tiga penuntut Sarjana Muda Sastera dan Arkeologi USM. Program Ahli Arkeologi Muda dan kerja-kerja penyelidikan tersebut dianjurkan oleh Think City Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Khazanah Nasional Berhad.

Orang ramai yang ingin menge­tahui lebih lanjut me­ngenai Program Ahli Arkeologi Muda Fort Cornwallis boleh melayari www.eventbrite.com dan thinkcity.com.my atau e-mel [email protected]