Ahli Parlimen Muar itu mengakui mahu mencipta budaya baharu supaya menjadi ikutan, terutamanya golongan muda seperti yang diamalkan warga Jepun.

“Saya mahukan budaya ini menjadi ikutan, itu yang saya nak terapkan kerana kalau kita lihat orang Jepun mereka nampak sampah terus angkat.

“Kadangkala kalau tiada plastik sampah, mereka bawa dalam poket. Kita kena buat ini sebab budaya bersih kerana kalau kita tak boleh jaga kebersihan di stadium atau tempat awam, macam mana nak jaga kebersihan negara?” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Sekolah Kebangsaan Parit No. 5, di sini hari ini.

Semalam, Syed Saddiq mencuri tumpuan apabila mengutip sampah selepas menyaksikan final Piala FA antara Pahang dan Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Dalam video berdurasi 28 saat itu, Syed Saddiq dilihat me­ngutip bekas makanan dan minuman yang ditinggalkan penonton selepas tamat perlawanan bola sepak yang dimenangi pasukan Pahang itu.

Beliau berkata, tindakan itu bukan sesuatu yang dirancang tetapi dilakukan secara spontan dengan harapan langkah itu menjadi amalan penyokong ketika berada di stadium.

“Perkara ini bagus kerana menyemai kebaikan menjadi ikutan kerana apabila seseorang buat, orang lain akan buat sehingga lama-kelamaan menjadi budaya dan itu yang nak saya terapkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau sedang meneliti kesemua penganjuran program yang telah dilaksanakan oleh kementerian sejak dahulu sama ada ingin diteruskan atau dimansuhkan.

“Sekiranya program itu baik, kita tiada masalah untuk teruskan. Kita tak nak bermusuhan atau bawa politik tak matang hanya kerana dipraktikkan oleh pihak sebelum ini, tetapi kalau ada unsur rasuah, salah guna kuasa, maka kita bersedia untuk menghentikan atau menambah baik,” tegasnya.