Hilmi Yahaya

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, penyebab utama penyakit mental itu adalah kemurungan, keresahan, insomnia dan bunuh diri.

Katanya, golongan berkenaan perlu mendapat sokongan keluarga dan masyarakat agar mereka dapat dipulihkan.

Beliau berkata, rawatan untuk penyakit skizofrenia itu perlu diberi awal kerana tanpa rawatan keadaan pesakit akan merosot dan mungkin sukar dipulihkan.

“Kajian menunjukkan terdapat lebih daripada 50 peratus pesakit skizofrenia tidak mendapat rawatan secukupnya dan 90 peratus daripada mereka tidak dirawat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat negeri di Bertam di sini.

Menurut Hilmi, nisbah doktor pakar sakit jiwa di negara ini dengan pesakit adalah seorang doktor untuk merawat 150,000 orang penduduk (1:150,000).

Katanya, pihaknya sedang meningkatkan kemudahan rawatan dengan nisbah seorang doktor dengan 50,000 orang penduduk (1:50,000).

Sehubungan itu, katanya, negara mempunyai 300 doktor pakar sakit jiwa untuk 28 juta penduduk.

“Jumlah ini masih tidak mencukupi dan kerajaan sedang berusaha untuk menambah doktor pakar berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Hilmi berharap ahli keluarga dapat memberikan sokongan bagi pemulihan pesakit mental dengan memberikan pendidikan kesihatan kepada pesakit berkenaan.