Jelas beliau, penemuan dapatan yang hanya boleh didedahkan di mahkamah itu merupakan hasil siasatan pihak polis melalui rakaman percakapan saksi-saksi, lakonan semula (re-enactment) dan juga hasil bedah siasat yang telah dilakukan oleh pihak forensik patalogi.

“Saya telah berbincang dengan Peguam Negara mengenai perkembangan kes ini. Peguam Negara telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau selaku Pendakwa Raya dalam menjalankan kuasanya di bawah seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah akan mengarahkan Majistret untuk membuat siasatan (inkues) di bawah Bab XXXII Kanun yang sama bagi menentukan sebab kematian Allahyarham.

“Pihak Pendakwa Raya akan memohon kepada mahkamah supaya ditetapkan tarikh pendengaran dengan segera dan akan membantu Majistret berkenaan dalam menjalankan inkues tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan, di dalam prosiding inkues tersebut, Majistret akan mempunyai kuasa yang luas di bawah seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian termasuk mempertimbangkan bagaimana Allahyarham menemui ajalnya.

“Serta sama ada kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh orang lain,” katanya.- UTUSAN ONLINE