Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Azhar Ahmad berkata, agensi yang memberi perkhidmatan latihan dan pembiayaan usahawan Bumiputera itu sentiasa mencatatkan prestasi yang terbaik malah pada tahun lalu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM103 juta.

Beliau berkata, pihaknya yakin kedudukan PUNB tidak akan terjejas meskipun terdapat ura-ura penggabungan antara agensi-agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sepertinya.

"Kita berada di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan setakat ini belum ada lagi mesyuarat dengan Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tetapi kita yakin PUNB antara agensi yang akan diketengahkan.

"Kita mempunyai aset bernilai RM 2.8 bilion dan mampu memberi pembiayaan secara Islamik dari RM10,000 hingga RM10 juta kepada satu-satu akaun peminjam, pada tahun lalu sahaja kita memberi pinjaman keseluruhan berjumlah RM281 juta.

"Jika dahulu kita mempunyai kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) yang tinggi iaitu 26 peratus tetapi ia dapat dikurangkan kepada 7.8 peratus tahun lalu dan kini turun kepada 5.3 peratus,"katanya selepas majlis penyerahan zakat perniagaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan zakat perniagaan PUNB berjumlah RM70,000 kepada Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi.

Ia adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan zakat RM 1.8 juta yang diagihkan PUNB ke seluruh negara. - UTUSAN ONLINE