Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PUNB, Datuk Azhar Ahmad berkata, jumlah itu melibatkan secara keseluruhan seramai kira-kira 700 orang usahawan dalam pelbagai bidang.

Kata beliau, sejak ditubuhkan pada 1991, PUNB telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM3.16 bilion yang melibatkan seramai 7,453 orang usahawan.

“Terbaharu, kita telah membuka cawangan PUNB di Perlis (Kangar) dan Negeri Sembilan serta merancang menambah satu lagi cawangan di Langkawi, Kedah, bagi mengembangkan operasi perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan PUNB 2017 berjumlah RM100,000 dan Penyampaian Bantuan Mangsa Ribut di Masjid Al Muqarrabin, Behor Empian di sini hari ini.

Yang turut hadir CEO Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan menerima zakat berkenaan bagi mewakili MAIPs.

Baginda selaku Yang Dipertua MAIPs kemudian turut menyampaikan sumbangan majlis agama itu kepada seramai 34 orang mangsa ribut baru-baru ini yang berjumlah RM32,160 bagi fasa pertama.

Baki bantuan mangsa ribut terlibat iaitu seramai 63 orang lagi akan disampaikan pada Ahad ini yang turut melibatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengenai penyerahan zakat itu, Azhar dalam satu kenyataan berkata, sebanyak RM1.577 juta zakat perniagaan sudah diagihkan kepada 11 buah negeri termasuk Perlis dan bakinya iaitu Perak, Pulau Pinang dan Pahang akan diserahkan dalam tempoh masa terdekat.

“Keupayaan PUNB membayar zakat perniagaan pada 2017 iaitu RM1.8 juta, mencerminkan daya maju dan untung perniagaan PUNB sebagai sebuah institusi yang menawarkan pembiayaan khusus untuk membantu usahawan Bumiputera,” katanya.

Berbanding 2016, zakat perniagaan PUNB yang diserahkan adalah berjumlah RM1.7 juta. - UTUSAN ONLINE