Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, sebagai contoh sekiranya terdapat sejumlah 250 usahawan di Melaka, pihaknya akan mengumpul data mengenai setiap daripada mereka untuk mengetahui kawasan DUn tempat beroperasinya para usahawan tersebut.

"Jika ada 25 usahawan di Melaka, kita akan tahu berapa ramai usahawan Bumiputera yang berjaya di DUn Kuala Linggi, Bukit Baru sebagai contoh dan apa jenis perniagaan mereka dan kita akan cuba tambah bilangan usahawan PUNB di kawasan yang mempunyai penduduk ramai tetapi peniaga Bumiputera kurang.

"PUNB bukan sebuah agensi yang menunggu usahawan untuk datang kepada kita tetapi kita juga mahu memberi motivasi kepada mereka supaya di merata tempat di negeri ini ada usahawan yang berdaya maju," katanya selepas merasmikan Kedai Kueh Melaka milik pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 25 tahun, Nur Humairah Sulaiman dan Mohammad Faiz Mohd. Said di Jalan Kilang berhampiran Bangunan Graha Maju di sini petang ini.

Menurut Mohd. Ali, pihaknya menjangkakan jumlah usahawan berjaya dalam kalangan Bumiputera di negeri ini akan bertambah menjelang Disember depan hasil usaha pihaknya mengumpul data dan maklumat mereka mengikut setiap DUN.

Katanya lagi, ketika ini tahap penguasaan usahawan Bumiputera berbeza mengikut kategori perniagaan di mana ada sebahagian daripadanya mencapai 50 hingga 60 peratus.

Namun kata beliau masih ada kategori perniagaan yang kurang dikuasai oleh usahawan Bumiputera antaranya bidang automotif dan perkasasan di mana tahap penguasaan usahawan Bumiputera hanya antara lapan hingga 10 peratus. - UTUSAN ONLINE