Presidennya, S.M Mohamed Idris berkata, pembangunan baharu di kawasan tersebut hanya me­nguntungkan para pemaju serta pihak bank namun tidak ada sebarang kebaikan diperoleh rakyat.

“Ini semua mengarut (jadikan kawasan pembangunan baharu seperti Marina Bay, Singapura), mereka (pemaju) sedang memusnahkan alam sekitar di sini.

“Kita tidak perlu menjadi pesaing kepada Singapura atau menjadi seperti Singapura, tambak laut tidak memberi manfaat kepada orang ramai kerana hanya beri keuntungan kepada pemaju serta bank semata-mata,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, pemaju hartanah dan infrastruktur, Kumpulan Gamuda Bhd., membayangkan Pulau Pinang sebagai Singapura kedua dengan mengatakan negeri ini akan dapat menyaingi Marina Bay di negara kota singa itu apabila projek penambakan tiga pulau buatan menerusi projek PSR selesai.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan PSR seluas 2,600 hektar bagi membentuk tiga pulau buatan yang akan digunakan untuk membiayai pelbagai projek dirangka menerusi PIP, termasuk terowong dasar laut dan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT).

Menurut beliau, SAM akan mengemukakan hasil kajian dan tinjauan SAM bertajuk Kesan-Kesan Penambakan Laut di Malaysia kepada ahli Majlis Peranca­ngan Fizikal Negara (MPFN) dalam masa terdekat untuk mendesak agar semua projek penambakan yang dicadangkan di negara ini khususnya PSR dibatalkan.