Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi status terbaharu dalam akaun Tweeternya berkata, perubahan berkenaan akan menjadikannya lebih terjaga.

"Pada masa dahulu beberapa Taman Negara telah diswastakan tetapi di Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mempu­nyai satu visi yang berbeza.

"Untuk melindungi dengan lebih baik semua Taman Negara, Sultan Ibrahim mengisytiharkan semua taman negara akan ditukar menjadi tanah kesultanan," katanya.

Sebelum ini satu salinan Warta Kerajaan Johor berhubung pembatalan perizaban Pulau Kukup sebagai Taman Negara bertarikh 24 September lalu kini mula tersebar dalam laman sosial.

Menurut Warta Kerajaan Johor itu, pembatalan keseluruhan kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan Taman Negara Pulau Kukup itu berdasarkan kuasa diberi mengikut Subseksyen 3 (3) Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor (1989).

Pulau Kukup yang diiktiraf sebagai pulau hutan paya bakau tidak berpenghuni yang kedua terbesar di dunia mempunyai tarikan 27 spesies bakau asli yang popular iaitu bakau kurap selain tujuh spesies mamalia, enam spesies reptilia, 23 spesies burung dan 111 spesies ikan.

Selain itu, Pulau Kukup yang menjadi Taman Negara sejak 1997 merupakan satu daripada dua buah pulau bakau tropika yang tidak boleh didiami di dunia merupakan satu daripada tiga kawasan ramsar di negeri ini selain daripada Sungai Pulai Basin dan Tanjung Piai.

Tunku Ismail berkata, perubahan status tersebut sudah diamalkan di United Kingdom apabila semua Taman Negara menjadi milik raja negara ber­kenaan.

Bagaimanapun katanya, perubahan tersebut tetap tidak mengubah status, polisi dan penggunaan taman berkenaan yang tetap menjadi status Taman Negara.