Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, menerusi pe­wartaan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor itu, maka status Pulau Kukup sebagai Taman Negara Johor akan kekal.

‘‘Perbadanan Taman Negara Johor akan bertanggungjawab dalam memelihara keaslian dan keadaan semula jadi kawasan tersebut,’’ katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebook rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Menerusi Facebook baginda itu, dimuat naik sekeping gambar pertemuan Osman dan Sultan Ibrahim yang dilakukan di Pejabat Mados, Istana Bukit Pe­langi di sini dengan turut diha­diri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Pada 5 Disember lalu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Pulau Kukup akan diubah status menjadi tanah kesultanan dan langkah tersebut supaya kawasan itu akan lebih terjaga dan dilindungi selepas statusnya diubah.

Osman berkata, bagi memastikan kedaulatan tanah strategik tersebut dilindungi, kerajaan negeri juga memasukkan kese­luruhan kawasan pulau di Pontian itu ke dalam Jadual II Enakmen Tanah Kesultanan 1934.

Katanya, tujuan tersebut bagi memastikan kedaulatan tanah yang strategik itu dilindungi dan terpelihara.

“Kerajaan negeri bertindak berdasarkan niat murni Sultan Johor untuk menjaga kedaulatan negeri dan bagi memastikan Pulau Kukup terus terpelihara sebagai khazanah alam semula jadi,” katanya.