Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, penganjuran Pulara yang kini memasuki edisi kelapan semakin mendapat sambutan menggalakkan dari setahun ke setahun.

Menurutnya, tahun lalu para penyair dari 25 buah negara menghadiri festival tersebut dan setakat ini penyair dari 14 negara sudah mengesahkan penyertaan dan jumlahnya akan bertambah.

“Pulara memberikan satu penjenamaan kepada negeri Perak sebagai tempat penyair-penyair dunia berkumpul.

“Festival ini juga dikenali di peringkat Kongres Penyair Sedunia manakala Pangkor dikenali di seluruh dunia sebagai tempat para penyair,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria dan Pengerusi Pulara, Mohd. Ghazali Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Malim Ghozali.

Menurut Zambry, sempena Pulara juga, pihaknya menganjurkan Persidangan Bahasa dan Persuratan Melayu Merentasi Zaman yang dianjurkan buat kali ketiga.

“Persidangan bahasa ini melibatkan pembentang-pembentang dari dalam dan luar negara yang akan membicarakan mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa utama yang dituturi semua,” katanya.

Menurutnya, Pulara merupakan antara program perbincangan dan seminar berasaskan bahasa dan budaya yang bertujuan membina jati diri rakyat.

Beliau berkata, walaupun program itu tidak memainkan peranan dari segi ekonomi tapi secara keseluruhannya ia merupakan satu proses untuk rakyat kembali kepada jati diri.

“Kesan daripada Pulara, Perak semakin mendapat sambutan dan respons daripada banyak pihak sebab itu kerajaan negeri meneruskan sokongan dan komitmen penganjurannya,” katanya.

Menurut Zambry, 'tetamu' yang datang ke Pangkor sempena Pulara agak istimewa kerana mereka merupakan penyair dan penulis yang menulis pengalaman mereka di dalam makalah atau media sosial.

Katanya, mereka seperti duta yang akan menulis tentang ne­geri Perak.

“Bayangkan penyair dari 20 buah negara menulis pengalaman mereka di sini dan apabila pulang ke negara asal, mereka akan menceritakan pengalaman masing-masing. Ini akan mendorong orang lain untuk datang ke Perak,” katanya.