Beliau yang mendeklamasikan puisi bertajuk Di sini Bermulanya Erti Keganasan berharap sajak yang disampaikan berjaya menghadirkan kesedaran buat penonton tentang impak negatif keganasan.

"Saya benar-benar tidak sangka berjaya menjadi juara kerana saingan yang diberikan oleh finalis lain sangat sengit.

"Saya harap puisi yang saya deklamasikan berjaya menyentuh hati penonton kerana seperti yang kita tahu, kemanusiaan kini semakin terhakis akibat tindakan keganasan," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Sayembara anjuran Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tersebut mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila 10 orang peserta telah terpilih ke peringkat akhir, termasuklah seorang peserta dari Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta, Indonesia.

Selain Ibtisam, dua lagi peserta yang berjaya mendapat tempat di peringkat akhir ialah Nurul Jannah Md. Nasir, 21 dari Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai naib johan dan Muhammad Afiq Aminuddin, 22, dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mendapat tempat ketiga.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Pengarah Bahagian Komuniti Sosio-Budaya Asean, Sekretariat Kebangsaan Asean-Malaysia, Mohd. Shahafeez Shaharis, felo KAB, Muhammad Fawiz Bakri dan Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Kolej KAB, Shaqin Irah Salina Mohd. Rawi.

Pengarah program, Nur Danun Ain Amin, 22, berkata, beliau bersama semua ahli jawatankuasa berusaha menjayakan sayembara tersebut demi mengangkat seni puisi moden dalam kalangan institusi pengajian tinggi (IPT) di peringkat Asean.

Malah, menurutnya, beliau turut berusaha mendapatkan juri yang benar-benar arif untuk mengadili sayembara tersebut.

"Saya harap program ini mampu membangkitkan rasa cinta terhadap seni puisi dalam kalangan peserta dan penonton yang hadir," ujarnya.

Barisan juri terdiri daripada penulis tersohor, Mohd. Alizan Arshad atau Alizan Arshad sebagai ketua juri, pemenang Hadiah Utama Hadiah Sastera Remaja Esso-Gapena IV, Amin Minhad (Aminhad) dan pemenang Hadiah Pertama Sayembara Puisi Perpaduan 1995, Rohana Hassan (Hass Ana). - UTUSAN ONLINE