Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kedudukan bandar tersebut yang terletak berhampiran de­ngan Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) memberi kelebihan kepada penduduknya untuk melibatkan diri dalam aktiviti pertanian yang tidak memerlukan kawasan bercucuk tanam yang luas.

“Masyarakat di sini sepatutnya memanfaatkan peluang yang ada untuk mendapat pandangan dan tunjuk ajar me­ngenai kaedah pertanian hidroponik atau akuaponik kerana mereka berada paling hampir dengan MARDI.

“Melalui jalinan hubungan itu, agensi itu juga boleh menjadikan Puchong sebagai model pembangunan komuniti kebun bandar yang baik sehingga boleh dicontohi di tempat lain,’’ kata­nya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sentuhan Kasih Tani, Program Pertanian Bandar 2.0 di Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Perdana dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Datuk Dr. Mohamad Satim Diman.

Mengulas lanjut, Ahmad Sha­bery memberitahu, aktiviti kebun bandar seperti tanaman sayur-sayuran mampu membantu masyarakat kota berjimat dan mengurangkan kos sara hidup.

“Keperluan seperti buah limau, cili, serai dan pandan tidak perlu dibeli jika orang ramai mengamalkan tanaman secara hidropnik dan akuaponik,’’ katanya.

Beliau berkata, sehingga kini kementeriannya merekodkan le­bih 11,000 orang terlibat dalam aktiviti kebun bandar di seluruh negara.