Malah, selaras dengan usia dua dekadnya itu, PTPTN juga tidak mahu hanya dikenali sebagai badan yang memberi pinjaman kepada pelajar tetapi ingin menjadi sumber terbaik untuk masa depan pendidikan negara.

Perkara itu tidak mustahil memandangkan PTPTN yang ditubuhkan atas inisiatif Kementerian Pendidikan yang ketika itu diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah menyediakan peluang luas kepada rakyat Malaysia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, sama ada ke universiti awam, politeknik mahupun institusi pendidikan swasta (IPTS).

Secara purata seramai 200,000 pelajar baharu mendapat tajaan PTPTN untuk melanjutkan pe­ngajian pada setiap tahun.

Bagi meluaskan lagi peranannya sebagai sumber terbaik pendidikan, PTPTN juga telah berjaya mengetengahkan skim simpanan pendidikan yang terbaik dan komprehensif sekali gus memupuk budaya menabung dalam kalangan ibu bapa bagi tujuan pendidikan tinggi.

Sempena 20 tahun penubuhan PTPTN, skim yang dahulunya dikenali sebagai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) itu telah dijenamakan semula menjadi Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M).

Penjenamaan semula itu telah diumumkan Najib dalam pembentangan Bajet 2018 dan turut me­ngumumkan penyediaan insentif Geran Sepadan sebanyak RM500 kepada pendeposit SSPN1M de­ngan peruntukan sebanyak RM250 juta.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, dengan kehadiran jenama baharu ini, diharapkan PTPTN dapat bergerak lebih jauh ke hadapan terutama dari segi penambahan jumlah bilangan pendeposit SSPN1M

“Kami mahu mengubah per­sepsi rakyat supaya tidak melihat PTPTN sebagai satu badan pembiaya pinjaman pendidikan semata-mata, tetapi juga sebagai satu sumber terbaik untuk masa depan pendidikan negara.

“Diharapkan tahun ini akan mengubah wajah PTPTN, iaitu sebagai satu tabung pendidikan yang terbaik dalam merancang masa depan pendidikan anak-anak.

“Jika Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat sebagai simpanan masa depan masyarakat, maka SSPN1M pula dilihat sebagai satu tabung pendidikan terbaik,” katanya pada Majlis Sambutan 20 Tahun PTPTN di Pusat Konvensyen Sime Darby dekat sini, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kemudiannya turut melancarkan penjenamaan se­mula SSPN1M dan Hadiah Cabutan WOW! SSPN1M 2018.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff.

Shamsul Anuar berkata, sehingga 31 Januari 2018, sebanyak 3.33 juta akaun SSPN1M telah dibuka dengan deposit terkumpul berjumlah RM3.52 bilion.

Jelasnya, jumlah kutipan deposit bagi tahun 2017 sahaja sebanyak RM727.4 juta, jauh me­langkaui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan iaitu seba­nyak RM550 juta.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapan perasmiannya ber­kata, pencapaian yang dikecapi PTPTN membuktikan kewujudan PTPTN adalah relevan kepada masyarakat, malah Malaysia merupakan satu-satunya kerajaan yang menyediakan tabung pendidikan terbesar untuk rakyatnya.

Beliau berkata, kecemerlangan PTPTN juga mendorong banyak negara yang mahu belajar daripada Malaysia bagaimana tabung ini diuruskan secara profesional, sehingga dapat membantu kira-kira 2.8 juta rakyat setakat ini dengan penge­luaran dana lebih RM52 bilion.

Katanya, PTPTN berjaya me­ngutip bayaran balik sebanyak RM3.98 bilion pada tahun 2017, yang merupakan angka ter­tinggi berjaya dikutip berban­ding tahun-tahun sebelumnya iaitu RM1.45 bilion pada 2015 dan RM3.43 bilion pada 2016.

Selain itu katanya, PTPTN juga merealisasikan hasrat Perdana Menteri yang menyediakan per­untukan sebanyak RM200 juta dalam Bajet 2018 untuk menaik­kan jumlah pinjaman pelajar-pelajar dalam kelompok B40, de­ngan memfokuskan kepada kursus berkebolehpasaran tinggi bagi memastikan keupayaan pe­minjam membuat bayaran balik.

Dalam majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan hadiah kepada tiga pendeposit berdedikasi yang membuka akaun sejak tahun 2004 serta sentiasa konsisten menabung dalam SSPN1M. Antara penerima tersebut adalah Qasrul Hisham Abd. Rahman yang me­rupakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan. Qasrul Hisham turut menerima Hadiah Khas Pendeposit Berinspirasi dan menerima hadiah wang tunai RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun SSPN1M miliknya.

Ahmad Zahid juga menyampaikan Hadiah Cabutan WOW! Tahunan 2017 kepada pemenang utama, Roslan Mamat yang menerima hadi­ah wang tunai bernilai RM100,000.