Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, jumlah pandangan dan maklum balas mengenai cadangan pembayaran balik hutang PTPTN itu dijangka terus meningkat sehingga menjelang 13 Jun depan iaitu tarikh akhir KKR.

Beliau memberitahu, pasukannya kini sedang mengkaji maklumat dan cadangan tersebut sebelum menyediakan laporan lengkap mengenainya selewat-lewatnya akhir bulan ini.

"Saya alu-alukan jika ada lagi pandangan lain yang boleh terus dikemukakan. Dan saya lihat, cadangan-cadangan yang dikemukakan itu cukup positif," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Arau di kediaman bekas Menteri Besar, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis yang bermula pada pukul 11.30 pagi sehingga 3 petang itu ialah Menteri Besar Kedah merangkap Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tambah Wan Saiful, beliau berpuas hati dengan sesi townhall KKR yang diadakan sebelum ini apabila pihaknya menerima banyak pandangan yang cukup berkualiti.

"Platform tersebut digunakan sebaik-baiknya bagi memberi cadangan dan pandangan mengenai mekanisme pembayaran PTPTN itu," katanya.- UTUSAN ONLINE