Bagaimanapun Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd. Khalid memberitahu, perkara itu melibatkan dasar kerajaan dan pihaknya perlu meneliti daripada segenap aspek.


“PTPTN sentiasa mengambil perhatian apa sahaja yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak demi manfaat para peminjam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.


Terdahulu, wakil tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada persatuan mahasiswa Malaysia hadir menyerahkan Memorandum Mahasiswa kepada PTPTN dan menuntut supaya badan itu mempertimbangkan mekanisme pemberian diskaun bagi bayaran balik pinjaman seperti yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini.


Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Nasional, Muhamad Haziq Shafe’ee dilaporkan berkata, langkah itu termasuk mengembalikan semula faedah diskaun seperti 10 peratus bagi pembayaran secara konsisten dalam tempoh setahun dan potongan 20 peratus bagi pembayaran keseluruhan pinjaman.


Kata Muhamad Haziq, melihatkan kepada situasi semasa terhadap isu PTPTN, mahasiswa seluruh Malaysia, meminta kerajaan melalui tabung pendidikan ini untuk mempertimbangkan semula kaedah pemberian diskaun kepada peminjam seperti yang telah dilaksanakan selama ini sehingga tahun lalu.


Katanya, kaedah tersebut dapat mengurangkan beban kos mahasiswa selepas tamat belajar kelak kerana ada di antara mereka sukar untuk mendapat pekerjaan.


Mengulas lanjut, Mastura berkata, pemberian diskaun itu adalah inisiatif daripada Bajet 2018 yang tidak disambung dalam bajet tahun ini.


“Tidak jadi isu batal atau tidak kerana ia inisiatif daripada Bajet 2018 yang berakhir pada 31 Disember lalu. Apabila tidak diumumkan dalam Bajet 2019, kita berhenti (pemberian diskaun),” katanya. - UTUSAN ONLINE