Pengerusinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, semua hadiah disediakan melalui Cabutan WOW! itu bagi mengga­lakkan lagi kalangan ibu bapa menabung melalui kedua-dua jenis skim akaun simpanan tersebut.

Beliau berkata, Cabutan WOW! 20 Tahun PTPTN yang merangkumi Cabutan Bulanan dan Cabutan Istimewa itu diadakan bersempena ulang tahun ke-20 PTPTN yang mula ditubuhkan pada 1997.

“Hadiah sehingga RM100,000 turut disediakan melalui Cabutan Istimewa untuk ibu bapa yang membuka akaun dan menambah simpanan akaun SSPN-i Plus. Dengan berbaki hanya 10 hari sahaja lagi, ibu bapa digalakkan mengambil peluang menarik ini.

“Pendeposit SSPN-i atau SSPN-i Plus juga layak memenangi Cabutan Bulanan sebanyak RM10,000 setiap bulan. PTPTN turut berikan geran sepadan percuma RM50 kepada 480 pelajar Tahun 1 untuk sesi persekolahan 2017 melibatkan peruntukkan RM42,000 melalui program tanggungjawab sosial korporat di Perlimen Titiwangsa sebagai galakan untuk ibu bapa menabung,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Penyam­paian Sumbangan Kepada Pelajar Tahun 1 2017 & Mini Karnival PTPTN Bersama Masyarakat Parlimen Titiwangsa yang dirasmikan oleh Menteri Kewangan II me­rangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di sini hari ini.

Karnival yang bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang itu dihadiri lebih 2,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat kawasan setempat.

Menurut Shamsul Anuar, ibu bapa yang membuat simpanan melalui SSPN-i Plus turut dilin­dungi takaful daripada RM40,000 hingga RM1 juta untuk setiap anak.

“Sehingga Januari lalu, PTPTN telah memberi manfaat taka­ful dan khairat kematian berjumlah RM170,037.20 kepada salah sebuah keluarga di Terengganu.

“Inilah antara manfaat besar diraih oleh para pendeposit. Maka, rebutlah peluang istimewa yang disediakan oleh PTPTN untuk semua rakyat Malaysia,” ujarnya.