Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, wang bayaran pinjaman berkenaan akan digunakan untuk kegunaan pelajar-pelajar yang ingin belajar pada masa-masa aman datang

"PTPTN ini perlu dipertahankan. Ia akan menjamin masa depan pelajar-pelajar yang ingin belajar pada masa-masa yang akan datang.

"Satu sistem pinjaman untuk kebaikan pelajar-pelajar ini perlu diteruskan, disokong. Dalam Islam yang meminjam perlu membayar dan  yang memberi pinjaman perlu sentiasa bertoleransi kepada mereka yang tidak boleh bayar," kata Idris.

Idris berucap pada sidang penutup Persidangan Parlimen Mahasiswa 2017 di Dewan Rakyat sementara hari ini.

Menurut beliau PTPTN mengeluarkan pinjaman sebanyak RM5 bilion kepada 200,000 pelajar setahun. Sehingga kini PTPTN telah keluarkan pinjaman sebanyak RM50.20 bilion kepada 2.69 juta peminjam.

Beliau menegaskan adalah tidak betul dakwaan kononya ramai pelajar yang tidak mahu membayar semula pinjaman PTPTN.
 
"Sekarang ini yang bayar lebih ramai. Sebab itu pada tahun lalu PTPTN telah kutip hampir RM3 bilion tahun lalu. Tak pernah sebelum ini.

"Tahun ini PTPTN mensasarkan sebanyak RM4 bilion ringgit. Mereka dapat mengutip kerana orang membayar," jelas Idris.

Menurutnya, PTPTN mengambil konsep boleh bincang dengan pelajar yang tidak mampu membayar hutang  dan PTPTN diarahkan agar  tidak menganiaya mahasiswa.

"Peminjam jangan tidak menghubungi PTPTN. Yang berlaku peminjam ingat mereka tidak boleh dikesan. Jadi mereka tidak menghubungi PTPTN.

"Tidak ada seorang pun peminjam yang akan dianiayai oleh PTPTN. Itu komitmen yang saya buat.

"Pergi luar negara boleh, bayar PTPTN tak boleh, makan angin boleh hutang tak boleh bayar. Itu tak boleh," tegas Idris.

Parlimen Mahasiswa disertai 209 pemimpin pelajar daripada 20 institusi pengajian tinggi awam dan lima institusi pengajian tinggi swasta.

Persidangan dua hari yang bermula semalam membahaskan usul mereka bentuk pendidikan tinggi (Redesigning Higher Education) dan perlaksanaan Transformasi Nasional 2050.

Persidangan Parlimen Mahasiswa 2017 dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Pembahas terbaik berpeluang menjejaki universiti ulung dunia Oxford di bawah tajaan Mubarak. -  UTUSAN ONLINE