Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, kaedah PGB itu akan dilaksanakan mengikut peratus potongan daripada gaji peminjam apabila gaji mencecah RM2,000 sebulan dan peratus potongan adalah di antara dua peratus hingga 15 peratus. 

Tambahnya, untuk merealisasikan kaedah tersebut, PTPTN akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mendapatkan maklumat pendapatan dan butiran majikan peminjam. 

“Berdasarkan maklumat diperoleh, PTPTN akan mengeluarkan arahan potongan gaji mengikut peratus potongan kepada majikan.

“Menjadi tanggungjawab majikan untuk membuat potongan gaji pekerja bagi bayaran balik pinjaman kakitangan mereka kepada PTPTN,” katanya dalam sidang akhbar di Menara PTPTN di sini hari ini. 

Jelas Wan Saiful lagi, bagi peminjam yang tidak termasuk di dalam penggajian dengan mana-mana majikan dikehendaki membuat pengesahan maklumat pendapatan mereka melalui portal PTPTN. 

“Ini bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan ansuran bayaran balik berdasarkan kepada peratusan pendapatan juga,” katanya. - UTUSAN ONLINE.