WAN AHMAD WAN YUSOFF
WAN AHMAD WAN YUSOFF

Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff berkata, pembayaran balik itu melibatkan jumlah bernilai RM967.9 juta.

“Kita mendapati dengan pendekatan yang mesra dan sedikit penguatkuasaan, masyarakat sudah sedar tentang tanggungjawab mereka untuk membayar semula pinjaman kerana para pelajar baharu juga memerlukan pinjaman.

“Sehubungan itu, kita amat menghargai kesedaran yang terbit dalam kalangan peminjam ini. Peningkatan pembayaran semula PTPTN merupakan perkemba­ngan yang positif dan merupakan tanggungjawab bersama semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pe­rasmian Pejabat PTPTN Cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain ­Ching.

Sehingga 31 Januari lalu, 586,863 peminjam PTPTN telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen yang melibatkan jumlah pinjaman bernilai RM11.6 bilion.

Sementara itu, Wan Ahmad berkata, Pejabat PTPTN Cawa­ngan KLIA2 beroperasi pada 1 Mac lalu di Balai Pelepasan KLIA2 selama 24 jam termasuk pada cuti umum.

Katanya, pejabat itu memberi kemudahan kepada peminjam PTPTN dan bertindak sebagai pemudah cara kepada peminjam terutama yang akan ke luar negara serta menghadapi masalah membuat bayaran balik.

“Selain berurusan di kaunter, peminjam juga boleh berbincang dan membuat rundingan melalui telefon di KLIA2 di talian 017-2493000, 017-2763000 dan 017-285300,” katanya.

Peminjam boleh membuat semakan senarai hitam di Portal Rasmi PTPTN dan Jabatan Imigresen, Careline PTPTN di talian 03-21933000 atau di mana-mana kaunter PTPTN dan imigresen.