Pengerusinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata jumlah kutipan itu diperolehi hasil usaha yang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan peminjam untuk membayar pinjaman mereka.

"Kelompok ini (yang liat membuat pembayaran) akan menjadi sasaran pihak kami (PTPTN) supaya mereka (peminjam) membayar balik pinjaman kerana kita perlukan wang itu untuk membantu pelajar-pelajar baharu akan datang," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Nine 11 terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kutipan balik pinjaman itu akan mengurangkan kebergantungan PTPTN kepada institusi kewangan lain dalam usaha memberi dana kepada pelajar baharu di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta di negara ini.

Sehingga kini PTPTN telah memberi pinjaman kepada lebih dua juta pelajar di seluruh negara termasuk yang masih mengikuti pengajian tinggi.

Shamsul Anuar berharap melalui pelbagai insentif yang diperkenalkan kerajaan dalam Bajet 2017, peminjam masih berpeluang untuk menjelaskan pinjaman mereka hingga 31 Dis ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2017 pada 21 Okt tahun lalu mengumumkan kerajaan bersetuju memberi insentif diskaun berkuat kuasa 22 Okt hingga akhir tahun ini bagi menggalakkan bayaran balik pinjaman. - BERNAMA