Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, proses yang dilaksanakan secara berperingkat sejak 24 Mei lalu, telah selesai sepenuhnya seminggu awal dari tarikh asal penyelesaiannya.

Dengan pembatalan senarai hitam tersebut, katanya, seramai 1.8 juta peminjam PTPTN yang sepatutnya membuat pembayaran balik, layak ke luar negara, memperbaharui pasport serta membuat pasport baharu tanpa sebarang sekatan daripada Jabatan Imigresen.

“Ini sekali gus menepati janji 100 hari manifesto kerajaan kepada sebahagian masyarakat Ma­­laysia yang merupakan pe­minjam PTPTN.

“Sehubungan itu, Kaunter PTPTN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) akan ditutup sepenuhnya mulai 1 Julai 2018 sebagai simbolik tiada lagi keperluan untuk pelepasan senarai hitam Jabatan Imigresen,” katanya da­lam sidang akhbar di Menara PTPTN di sini hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik pada akhir bulan lalu me­ngumumkan bahawa kerajaan akan menarik balik senarai hitam Jabatan Imigresen terhadap pe­minjam PTPTN dengan pelaksanaannya dilakukan secara berperingkat.

Pembatalan senarai hitam itu adalah antara 10 janji Pakatan Harapan (PH) yang mahu ditunaikan dalam masa 100 hari memerintah Putrajaya selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurut Wan Saiful, walaupun senarai hitam telah dibatalkan, peminjam PTPTN dinasihatkan untuk terus membayar balik serta mengelakkan sikap menangguh-nangguhkan pembayaran hu­tang seperti yang dituntut da­lam semua agama.

Beliau berkata, pembayar­an balik yang berterusan dan konsisten juga penting bagi mengelakkan rekod buruk peminjam dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) Bank Negara Malaysia (BNM).

“Bagi peminjam PTPTN yang membuat pembayaran secara konsisten, laporan kredit CCRIS akan membantu mereka dalam memohon kelulusan sebarang pinjaman baharu,” katanya.

Sementara itu, mengulas me­ngenai manifesto PH untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan, Wan Saiful berkata, pelaksanaannya akan dilaksanakan setelah kajian lebih teliti dilakukan.

Beliau berkata, usaha sedang giat dijalankan oleh Kementerian Pendidikan dan PTPTN dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk mengenal pasti maklumat pendapatan pe­minjam.

“Justeru, peminjam PTPTN diminta untuk bersabar sehingga pengumuman pelaksanaannya dikeluarkan iaitu sebelum mencapai 100 hari pentadbiran kerajaan PH pada 17 Ogos ini.

“Selagi tiada pengumuman mengenainya dibuat, peminjam dinasihatkan terus membayar balik pinjaman PTPTN walaupun gaji belum mencecah RM4,000 sebulan,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab dakwaan yang tular di media sosial kononnya PTPTN mengeluarkan syarat baharu iaitu pinjaman hanya akan diberikan kepada anak-anak penerima Bantuan Sara Hidup yang sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Wan Saiful menjelaskan bahawa ianya adalah palsu.

Jelas beliau, pinjaman PTPTN terbuka kepada semua pelajar warganegara Malaysia yang ingin menyambung pelajaran di institusi pengajian awam atau swasta dalam negara tanpa me­ngira pendapatan penjaga.