Menerusi status dalam laman Facebook beliau hari ini, Najib juga mencadangkan perkara sama dibuat terhadap Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik selain meminta rakyat bertanya khabar kepada pejuang mahasiswa yang dipercayai merujuk kepada Adam Adli Abd. Halim, yang sebelum ini menjadi antara mereka menuntut pendidikan percuma.

"Kesemua mereka ini sejak masuk ke Kementerian Pendidikan, kerja mereka menyusahkan orang sahaja.

"Memang betul. Masa Barisan Nasional (BN) kita pun galakkan peminjam untuk bayar balik. Tetapi kita ambil kira kos sara hidup peminjam," katanya.

Jelasnya, pentadbiran BN menawarkan pelbagai kaedah pembayaran balik pinjaman agar tidak membebankan peminjam seperti diskaun sehingga 20 peratus untuk bayaran balik sama ada sekali gus, separuh atau potongan gaji.

Semalam, PTPTN mengumumkan akan melaksanakan kaedah bayaran balik pinjaman secara potongan gaji berjadual (PGB) bermula Januari 2019 serendah RM40 sebulan sehingga mencecah lebih RM1,000 mengikuti paras gaji.

Kata Najib, kadar bayaran mengikut kaedah baharu itu bukan satu angka yang kecil, tambahan pula kebanyakan peminjam sudah berumah tangga dan mempunyai perancangan mengikut aliran tunai masing-masing.

"Tiba-tiba gaji mereka berkurangan. Macam mana mereka hendak merancang semula komitmen bulanan dalam masa singkat?" soalnya.

Kata beliau, sewaktu kerajaan BN menyenaraihitamkan peminjam yang tidak membayar hutang PTPTN tetapi masih mampu bercuti ke luar negara, tindakan itu dikecam.

Najib mencadangkan supaya Maszlee dan Wan Saiful menguatkuasakan semula perjanjian PTPTN di bawah kerajaan BN yang mengambil kira kemampuan peminjam.

Kata Najib lagi, sekiranya PH tidak mampu menunaikan manifesto pilihan raya atau memberi pendidikan percuma, sekurang-kurangnya parti kerajaan itu tiru semula apa yang dibuat oleh BN mengenai PTPTN.-UTUSAN ONLINE