Pendekatan itu digerakkan melalui aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN yang diadakan secara kerjasama berkonsepkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah program KPT4U.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd. Khalid berkata, program KPT4U adalah platform terbaik yang membolehkan PTPTN menjalin hubu­ngan mesra dengan masyarakat tanpa sekatan iaitu tidak mengira bangsa, usia dan pendapatan.

Beliau berkata, program itu juga mampu meletakkan PTPTN sebahagian daripada masyarakat agar mereka sedar tentang fungsi sebenar agensi tersebut iaitu bukan sahaja berperanan sebagai pemberi pinjaman, tetapi juga merupakan tabung pendidikan tinggi untuk anak-anak.

“Aktiviti kemasyarakatan ini membolehkan PTPTN menyebar luas maklumat-maklumat berkaitan PTPTN dan meneruskan usaha menerapkan budaya menabung dalam diri masyarakat di seluruh negara.

“Mungkin ramai mengenali PTPTN, tetapi mereka tidak sedar bahawa agensi ini menyediakan instrumen persediaan kewangan terbaik untuk ibu bapa bagi pendidikan tinggi anak-anak mereka iaitu Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M),” katanya.

Skim yang dahulunya dikenali sebagai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN- dan SSPN-Plus) dijenamakan semula menjadi SSPN1M sempena 20 tahun penubuhan PTPTN tahun lalu.

Mastura berkata, setakat ini, PTPTN telah menjelajah ke Kuala Selangor, Selangor; Besut, Terengganu; Kuala Krau, Pahang; Lenggong, Perak dan Tawau, Sabah untuk bersama-sama menjayakan program KPT4U.

Beliau berkata, antara aktiviti yang dianjurkan sepanjang program tersebut adalah pertandi­ngan mewarna untuk kanak-kanak prasekolah, sumbangan keperluan sekolah, pemberian tuisyen percuma, sumbangan pembukaan akaun SSPN1M, pe­nyampaian insentif geran sepadan RM500 dan pertandingan nya­nyian Lagu Tiga Kupang SSPN1M.

“Setiap aktiviti mempunyai matlamat tersendiri. Um­pamanya pertandingan mewarna bersama kanak-kanak berkonsepkan simpanan dan kreativiti bertujuan menggalakkan budaya kreatif selain mendidik mereka dengan sikap sabar serta mencintai seni.

“Pada masa sama, PTPTN berharap kanak-kanak dapat melihat bahawa menabung itu adalah satu aktiviti yang bagus untuk masa depan mereka,” jelasnya.

Selain itu katanya, PTPTN juga memberi sumbangan pembukaan akaun SSPN1M kepada keluarga yang kurang berkemampuan iaitu mereka yang terdiri dalam kate­gori B40.

Mastura berkata, kerajaan juga sentiasa berusaha menggalakkan masyarakat menabung, mi­salnya melalui Bajet 2018, seba­nyak RM250 juta diperuntukkan sebagai insentif kepada 500,000 akaun terawal kepada kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

Beliau berkata, peruntukan itu disediakan sebagai insentif bagi menggalakkan ibu bapa menabung.

“Sambutan yang di­terima memang meng­galakkan dan inilah peluang yang sepatutnya direbut ma­syarakat khusus­nya mereka yang belum lagi membuka akaun SSPN1M.

“Bagi mereka ya­ng telah mempunyai akaun tersebut, hanya perlu menambah deposit sebanyak RM500 untuk melayakkan mereka mendapat geran sepadan RM500 secara percuma,” katanya.

Beliau berkata, sehingga 31 Mac 2018, sebanyak 3.40 juta akaun SSPN1M telah dibuka de­ngan deposit terkumpul berjumlah RM3.61 bilion.

“Insentif ini bukanlah janji kosong kerana ramai ibu bapa telahpun menerima geran sepadan RM500 yang dimasukkan ke dalam akaun SSPN1M mereka dan kami menggunakan platform KPT4U untuk mengetengahkannya kepada masyarakat supaya lebih ramai yang merebut peluang tersebut,” ujar Mastura.

Katanya, insentif yang diberikan itu juga sebagai usaha untuk mendidik masyarakat menabung secara konsisten demi pendidikan tinggi anak-anak mereka.