Pengerusi PTPTN, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, caj yang dikenakan itu perlu dikekalkan bagi menampung kos operasi pengurusan PTPTN termasuk akaun peminjam.

Katanya, sejak Januari 2004, kos pentadbiran telah diturunkan kepada tiga peratus setahun dan semakin berkurangan mulai 1 Jun 2008 sehingga kini dengan hanya melibatkan ujrah atau upah satu peratus setahun atas kadar rata. 


“Untuk makluman, PTPTN tidak lagi menerima geran daripada Kerajaan untuk tujuan pemberian pinjaman kepada peminjamnya semenjak tahun 2003. Dana untuk pinjaman pelajar disediakan dengan penerbitan sukuk dan pinjaman jangka panjang daripada institusi kewangan.

“Melalui pinjaman jangka panjang ini, PTPTN telah dikenakan faedah antara tiga hingga lima peratus dan peminjam PTPTN pula tidak dikenakan sebarang bayaran bagi faedah tersebut. Dalam erti kata lain faedah pinjaman telah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan bukan peminjam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) yang menggesa PTPTN menghapuskan caj pen­tad­biran sebanyak satu hingga tiga peratus terhadap para peminjam yang konsisten membayar balik pin­jaman tersebut dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2018) di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, peminjam PTPTN yang masih belum membuat pertukaran pinjaman daripada konvensional kepada ujrah perlu berbuat demikian dengan segera memandangkan sistem itu hanya mengenakan kos upah sebanyak satu peratus pada kadar rata berbanding pinjaman konvensional yang mengenakan kos pentadbiran pada kadar tiga peratus

Menurutnya, melalui penukaran ini juga membolehkan peminjam menikmati penjimatan kos sehingga 49 peratus berbanding kos pinjaman sebelum ini. 


“Di bawah Bajet 2017 dan 2018, kerajaan memberikan diskaun sebanyak 10,15 atau 20 peratus, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan. Pemberian diskaun ini merupakan penghargaan kepada peminjam yang komited dalam membuat bayaran balik pinjaman. Ia secara tidak langsung membantu untuk kesinambungan pemberian pinjaman kepada generasi akan datang.

“Selain itu selaras pengumuman Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, PTPTN memberi fokus penajaan kepada kursus kebolehpasaran yang tinggi supaya peminjam dapat membuat bayaran balik dengan memperluaskan skop penajaan bagi kursus atas talian kerana melibatkan kos pengajian lebih rendah dan tidak akan membebankan peminjam,” ujarnya. - UTUSAN